Jodoh yg Sejati Membawa Diri Makin Dekat dengan ALLAH dan Nabi

TIDAK SANGGUP HIDUP HINA TANPA PERJUANGAN BAHKAN RELA MATI SYAHID KERNA AGAMA DAN PERJUANGAN

------------MENDAMBa SYAHID fi SABILILLAH-----------

Tuesday, April 19, 2011

Baitul Muslim dan Kesinambungan Dakwah

MUQADDIMAH

Firman Allah,
“ Barangsiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai cara hidup, maka Allah tidak akan menerimanya dan akan menjadi golongan yang rugi di hari kiamat”. (Surah Ali ‘Imran, 85.)

Islam merupakan agama fitrah yang datang daripada pencipta alam semesta iaitu Allah S.W.T. Allah lah yang mengurniakan fitrah kasih sayang sesama manusia dan Allah jua yang telah mengurniakan rasa saling memerlukan antara lelaki dan perempuan. Dia juga yang meletakkan rasa syahwat di antara kedua-dua golongan ini. Maka zalimlah Allah apabila Dia yang memberi dalam masa yang sama Dia menyekat apa yang telah dikurniakan kepada hambanya. Apabila kita menyebut tentang keinginan syahwat dan berpasang-pasangan, maka Allah mengajarnya dengan satu jalan yang disebut sebagai nikah.

GALAKAN DARIPADA RASULULLAH S.A.W

Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh tauladan buat seluruh umatnya di dalam segenap perkara. Setiap apa yang berlaku kepada batang tubuh baginda terkandung disebaliknya hikmah-hikmah sebagai pengajaran buat umatnya. Nabi seorang yang luas ilmunya kerana diajar secara lansung oleh Allah melalui malaikat Jibril A.S. Baginda juga seorang ‘abid yang terlalu kuat ibadahnya sehingga bengkak buku lalinya. Di medan perjuangan, beliau adalah pemimpin negara dan panglima perang buat tentera Islam. Di rumah pula beliau adalah suami dan bapa yang terbaik buat isteri-isteri serta anak-anaknya.

Nabi SAW yang sudah dijamin syurga itu berkahwin apatah lagi kita yang belum terjamin keimanannya di zaman penuh fitnah dari para wanita ini. Kita sedia maklum, kisah yang tercatat di dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim mengenai tiga orang yang bertemu nabi S.A.W. Masing-masing dalam kalangan mereka menyatakan bahawa dia ingin solat malam selalu, berpuasa tanpa berbuka dan bujang tanpa berkahwin selamanya. Lalu Nabi S.A.W menjawab, “ demi Allah, aku lebih takut kepada Allah tetapi aku puasa dan berbuka, aku solat malam dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka barangsiapa yang membenci sunnahku dia bukan dalam kalangan aku”.

Ini menunjukkan Nabi S.A.W mendorong kepada perkahwinan kerana Islam yang dibawa oleh baginda adalah agama fitrah yang bersifat syumuliah yang menyelesaikan kehendak fitrah manusia mengikut ketetapan Allah S.W.T.
Sabda baginda S.A.W,
Wahai sekalian pemuda, barangsiapa dalam kalangan kamu mampu untuk bernikah maka bernikahlah kerana ia menundukkan pandangan, barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana ia menjadi perisai”.
Hadis Sahih Bukhari dan Muslim.

IDEOLOGI SESAT
Firman Allah,
Wahai manusia, bertaqwalah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam) dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) dari dirinya, dan dari keduanya Allah membiakkan lelaki dan perempuan yang banyak dan bertawakkallah kepada Allah yang dengan namanya kamu saling meminta dan peliharalah hubungan kekeluargaan , sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi dan menjagamu”. (Surah an- Nisa' ,1).

Sesungguhnya institusi kekeluargaan adalah satu agenda yang telah disebut di dalam kitab al-Quran. Ia memainkan peranan yang sangat besar kepada masyarakat serta kehidupan norma manusia. Sesungguhnya manusia memerlukan seorang teman di sisinya untuk melengkapkan siri kehidupan mereka di atas muka bumi Allah ini. Manusia yang menolak kenyataan sebegini adalah mereka yang menolak etika norma kehidupan satu makhluk yang diberikan keistimewaan agama, akal dan juga nafsu itu sendiri yang bergelar insan.

Namun pada hari ini kita sangat sedih kerana segolongan manusia yang telah ditutup mata hatinya sanggup mengeluarkan kenyataan untuk tidak mahu mendirikan rumah tangga dengan memberi alasan tidak mahu menjadi hamba kepada lelaki. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh seorang yang bernama zainab semasa wawancara bersama sebuah stesen TV. Beliau adalah seorang pendokong gerakan yahudi antarabangsa yang bertopengkan agama untuk mengaburi mata umat di negara ini yang di sebut sebagai Sister in Islam (SIS). Sedangkan agama ini telah mengajar kepada umatnya bahawa pernikahan itu adalah satu rahmat dari ilahi buat hambanya. Maka barangsiapa yang tidak menyukainya mereka adalah golongan yang rugi. Jelas telah disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W, “ barangsiapa yang bencikan sunnahku maka bukan dalam kalangan aku”. Al-Imam as-Syaukani mensyarahkan makna sunnah adalah thariqah iaitu cara hidup dan benci dengan maksud berpaling.

Selain daripada itu, fahaman melebihkan adat kebiasaan sehingga membelakangkan agama juga boleh disebut sebagai satu ideologi sesat yang patut diperbaiki oleh kita yang bergelar da’ie. Contohnya apabila hendak berkahwin maka si pemuda haruslah memiliki wang dan harta yang bertimbun, kereta yang besar, hantaran yang mahal serta walimah yang membazir dengan kos puluhan ribu.

Sedangkan sabda Nabi S.A.W,
Apabila datang seorang yang diyakini akhlak dan agamanya maka kahwinilah ia, jika tidak akan berlaku satu fitnah dan kerosakan yang besar di atas muka bumi”.
(Hadis hasan riwayat at-Tirmizi)

Allah juga berfirman,
Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu haramkan apa yang baik yang telah Allah halalkan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”.
(Surah al-Maidah, 87).

Justeru marilah kita kembali kepada Islam kerana hanya Islam sebagai penyelesai segala permasalahan.

DAKWAH DAN GERAKAN ISLAM

Peranan keluarga Islam (Baitul Muslim) di dalam gerakan Islam amatlah besar. Oleh kerana itu memilih pasangan faham menjadi satu kemestian buat mereka yang duduk di medan dakwah. Untuk meneruskan tugas para Rasul yang mulia memerlukan kekuatan yang luar biasa. Untuk menjaga sesebuah institusi keluarga bukanlah suatu tugas yang mudah apatah lagi meneruskan agenda membawa risalah Islam.

Sudah tentu semangat juang ketika zaman bujangnya perlu digilap semula. Sekiranya teman sehidup semati ini tidak membantu peranan, dikhuatiri agenda murni ini akan terbantut. Ya, ada yang berhujah pembentukan masih boleh berlaku walaupun selepas perkahwinan, namun sejauh mana ianya mampu menjamin perjalanan yang masih panjang ini. Jujurnya, peranan pasangan amat membantu untuk istiqamah di dalam berdakwah.

Sabda nabi S.A.W,
Tiada sesuatu yang lebih bermanfaat bagi seseorang mukmin selepas daripada bertaqwa kepada Allah selain dari isteri yang solehah, apabila diperintahkan sesuatu ditaatinya, apa memandangnya rasa gembira, apabila dibuat giliran diterimanya dengan senang hatidan apabila ketiadaan kita di rumah, dia menjaga dirinya (maruah) dan harta benda suaminya”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi S.A.W sendiri mempunyai seorang isteri yang sangat membantu beliau dalam meneruskan kerja-kerja dakwah iaitu Siti Khadijah R.A. Siti Khadijah R.A bukan sahaja memberi ketenangan dikala baginda menghadapi cabaran, malah hartanya juga menjadi pembantu yang kuat kepada perjuangan Islam. Begitulah peri pentingnya memilih isteri yang jelas aqidah perjuangannya. Jika tidak, bukan harta dan masanya dikorbankan untuk kita demi Islam bahkan harta dan masa kita habis dengan keduniaan lalu menghancurkan perjuangan Islam.

Ujian pasangan adalah satu ujian yang berat. Maka marilah kita mengambil pengajaran daripada kesusahan dalam mengamalkan Islam dan berdakwah yang dihadapi oleh Nabi Nuh dan Nabi Lut A.S. yang dikhianati oleh isteri mereka serta Asiah binti Muzahim (isteri Firaun) yang bersuamikan raja yang kufur. Marilah kita kukuhkan Islam dengan terbinanya baitul muslim atas dasar aqidah Islam yang jelas.

SATU FIKRAH SATU AMAL

No comments:

Post a Comment