SARAJEVO – Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
“Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya,” kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
“Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
“Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya,” ujar Senad.
“Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya,” tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. – AFP
No comments:
Post a Comment