Dengan nama ALLAH, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala pujian bagi ALLAH yang ,tiada Tuhan yang disembah
melainkan ALLAH Taala dan Nabi Muhammad saw itu pesuruh ALLAH yang bersifat
maksum dan sungguh agung.Semoga ALLAH memberi kita istiqamah dalam Islam.Hidup
dan mati dengan keizzahan Islam.
Siapa itu
mahasiswa? Makna yang difahami bagi kita umumnya mahasiswa adalah masyarakat
belajar yang mempunyai peranan 3K sahaja yakni kelas,kafe,dan katil. Jika
ditingkat sekolah digelar pelajar, jika diperingkat universiti digelar
mahasiswa dan jika pada sebutan pelajar sekolah pondok lazim disebut tholibul
‘ilm atau penuntut ilmu.Adakah peranan mahasiswa hanyalah mengelek
buku,menggalas beg sekolah dan labtop semata-mata sahaja tanpa perlu memperdulikan
keadaan umat sekeliling?Benarkah begitu peranan mahasiswa menurut istilah
bahasa bahkan istilah syariat? Inilah mungkin kesimpulan naif kita tentang
makna mahasiswa.
Sebenarnya mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas dari apa
yang biasa kita ketahui.Jika dilihat sendiri secara harfiah pada perkataan
M.A.H.A.S.I.S.W.A, sebenarnya ia terdiri oleh 2 suku kata iaitu maha yang membawa maksud besar dan
berkuasa; dansiswa yang
merujuk pada sekelompok pelajar atau penuntut di institusi pengajian
tinggi.Hasil sintesis kedua-dua suku kata ini memberi makna yang lebih tinggi
iaitu satu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan belajar di
institusi peringkat tinggi, tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa
berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka.Dr. Zuhdi bin Marzuki
(Universiti Malaya, 2001) mendefinisikan mahasiswa sebagai suatu kelompok
pelajar yang yang berada dalam peringkat paling tinggi dalam sistem pendidikan
formal sesebuah negara.Bagaimana pandangan Islam tentang mahasiswa?Mari bersama
renungkan perkataan Saidina Saad Bin Abi Waqas,seorang pemuda bahkan mahasiswa
acuhan madrasah Rasulullah saw."Aku adalah anak-anak panah Islam,
campaklah aku ke mana saja, aku pasti berjuang untuk Islam" .
Mahasiswa walau
berapapun usianya adalah seorang hamba ALLAH bahkan mempunyai tanggungjawab
sebagai khalifah ALLAH di bumi ini.Peringatan dari ALLAH dalam surah Az-
Zariyat ayat 56 yang bermaksud ‘’Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia
,melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu.’’.Itulah tujuan manusia diciptakan
bahkan kita disuruh untuk mengikuti manhaj rabbani,yang selama-lamanya tidak
dimasuki kebatilan daripada hadapan mahupun belakangnya dengan menegakkan hukum
Allah dimuka bumi.Hamba hakikat tugasnya adalah berkhidmat.Khidmat kepada
siapa? Menjadi khadam pada tuan siapa? Menjadi khadam dan berkhidmat kepada
ALLAH,Rasulullah dan berkhidmat kepada umat Rasulullah saw.Bukti cinta pada
Rasulullah ialah dengan mengikuti apa yang disukai oleh Baginda Nabi saw.
Sebagaimana dalam
surah Al Imran ayat ke 31,ALLAH berfirman yang bermaksud:’’
Katakanlah(Muhammad),jika kamu mencintai Allah,ikutilah aku,nescaya Allah
mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.’’
Bagaimana pula
peranan sebagai khalifah ALLAH mampu dilaksanakan dalam konteks mahasiswa yang
kelasnya dari pagi sampai petang dengan timbunan tugasan ‘assignment’ dan kertas kerja? Apakah
dengan menjadi Perdana Menteri barulah kita dapat melaksanakan tugas sebagai
khalifah di bumi ALLAH? Apakah selepas grad barulah kita ditaklifkan tugas
mentadbir bumi dan alam? Apakah di sini atau di planet lain barulah kita mampu
melaksanakan tugas wajib sebagai khalifah ALLAH ini? ‘’Kita lihat, ada individu
yang menyedekahkan 'hidup' dan masanya terhadap kerja dakwah bersama masyarakat.Kita
lihat, ada kumpulan yang mewakafkan 'hidup' dan tenaganya terhadap perjuangan
Islam.Kita lihat, ada individu yang mengorbankan kesenangan berkerusi empuk dan
berhawa dingin, terhadap membetulkan ummah yang semakin 'sakit'.
Kita lihat, ada individu yang memerah otak dan
tenaga, bersengkang mata memberatkan minda, demi memikirkan nilai Islam yang
tercemar dek kerana penganutnya.Hari ini, kita. Sekarang kita tanya pada diri, adakah
aku sekadar melihat dan menjadi pengulas terbaik?’’Inilah kalam hikmah yang
dinukilkan Imam Muda Fattah yang diilhamkan ALLAH buat muhasabah kita bersama
sebagai mahasiswa.
Sedar sudah faham pun sudah,mari kita cari solusi.Peranan
mahasiswa adalah berdakwah,pada umat Nabi yang dicintai.Umat yang mundur ialah umat yang tidak belajar dari sejarah
sebagaimana orang yang berjaya ialah orang yang belajar dari
kesilapannya.Kerana dari sejarahlah mematangkan pengalaman dan ilmu kita akan
datang.Mahasiswa yang rata-ratanya adalah pemuda Islam sama ada dahulu dan kini
pada setiap peringkat dan sejarah adalah tunggak kebangkitan umat
Islam.Merekalah rahsia kekuatannya,punca kemegahan dan kemuliaannya,pengibar
panji-panji dan benderanya,panglima bala tenteranya ke arah kebesaran dan
kemenangan.
Sebagaimana firman
ALLAH dalam surah Al Kahfi ayat ke -13 yang bermaksud’’Sesungguhnya mereka
itulah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka,dan Kami tambahkan kepada
mereka petunjuk.’’
Menjadi tanggungjawab
kita sebagai mahasiswa sekaligus sang pemuda dan pemudi untuk mengetahui bahawa
sekumpulan mukminin yang berpusat di rumah Al Arqam,di atas tangan mereka
terlaksananya kemenangan Islam;mereka semuanya adalah para pemuda.Rasulullah
saw sendiri berumur 40tahun ketika bangkit menjadi nabi,Saidina Abu Bakar r.a
lebih muda daripada Nabi saw sebanyak tiga tahun,Saidina Umar r.a ketika itu
berusia 27 tahun,Bahkan Saidina Usman r.a lebih muda daripada Rasulullah saw
begitu juga Saidina Ali hanya berusia 10tahun tatkala menggantikan tempat
Rasulullah diperaduan Baginda pada malam penghijrahan.Begitu juga Saidina Bilal
Bin Rabah,Saidina Abdullah bin Mas’ud,Mus’ab Bin Umair dan ramai lagi yang mana
kesemuanya adalah pemuda yakni mahasiswa acuan madrasah Rasulullah saw.Para
pemuda itulah yang telah menanggung di atas belakang mereka bebanan
dakwah.Merekalah yang begitu hebat tarbiahnya dari ALLAH,yang menjadi ibarat
singa garang di siang hari namun abid yang taat di malam hari dengan bermunajat
kepada Tuhannya.Apa yang mereka bersusah-payah perjuangkan? Itulah udara Islam
yang mampu kita sedut sampai ke saat ini.Islam yang tidak lain hanya dapat
disebarkan dengan cara penyampaian dakwah.
Berbalik kepada tugas
utama kita sebagai makhluq ALLAH di bumi ini yakni hamba dan khalifah,begitulah
peranan yang mampu dimainkan kita sebagai mahasiswa kepada masyarakat dan
negara adalah menuntut ilmu dan berdakwah.Sebelum kita berbicara lebih lanjut
tentang dakwah yang boleh dimainkan oleh gerakan mahasiswa ini,marilah kita
sama-smaa selusuri kisah insan kamil yang begitu mulia akhlaqnya yakni Habibuna
Mustofa Rasulullah saw dalam perjuangan dan cintanya kepada umat.Allahuakbar!
Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat.
Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun
yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah
sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayyidina Umar r.a. yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung
bertanya setelah selesai bersembahyang,’’Ya Rasulullah, kami melihat
seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya
Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan
segar."
"Ya Rasulullah.. mengapa setiap kali
tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh
tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya
Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang
kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan
rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap
kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan
menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat
tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku.
Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab
di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada
umatnya? Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak
tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di
Akhirat kelak."
‘’Sesungguhnya Nabi saw yang
terpilih,empunya kasih sayang dan
kemulian.Mengingatinya adalah pengubat,apabila ditimpa penyakit.’’Begitulah
maksud qasidah yang dialunkan oleh para Muhibbeennya.Begitu cinta umat kepada
Rasulullah pasti tidak dapat menandingi cinta Nabi kepada mereka.Jadi balasan
kepada cinta Nabi saw kepada kita walaupun rasanya tidak mampu kita balas
segala jasa Baginda saw ialah dengan berdakwah memperjuangkan Islam.Firman
ALLAH dalam surah Al-Imran surah 104 yang bermaksud:’’Dan hendaklah ada
kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan,menyuruh kepada ma’ruf
dan mencegah dari munkar ,dan mereka inilah orang-orang yang beruntung.’’Sabda
Nabi saw juga:’’Umpama orang-orang yang tinggal dalam sempadan-sempadan ALLAH
itu adalah seperti suatu kumpulan manusia yang menaiki kapal.Setengah duduk di
atas,manakala setengah pula duduk ditingkat bawah.Orang-orang yang duduk
ditingkat bawah itu bila hendak mengambil air (dari laut) terpaksalah mereka
melalui tempat yang diduduki oleh orang-orang di atas,lalu mereka
berkata:’’Kalau kita tebuk lubang di sebelah bawah ini untuk mendapatkan air
tentu kita tidak akan mengganggu orang-orang yang di sebelah atas.Maka kalaulah
mereka itu dibiarkan melakukan apa yang mereka niatkan itu,nescaya semua orang
di atas kapal itu akan binasa.Kalau mereka dicegah,kesemuanya akan
selamat.’’.Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Mafhum kalam dari ayat suci al Quran dan
hadis sunnah Nabi saw adalah kewajipan untuk berdakwah itu wajib bagi
semua.Demi menjaga nikmat Islam dan hidayat yang kita kecapi sekarang ini
khususnya di bumi Malaysia,di mana kita Islam sebagai warisan dan amnya di
dunia ini,amatlah penting bagi semua terutama golongan pemuda untuk ambil cakna
keperluan berdakwah kepada masyarakat.Bertitik tolak daripada keinsafan dan
kesedaran terhadap betapa tingginya nikmat dan hidayat di dalam jiwa kita,kita
wajib berjuang dan menggerakkan harakah Islamiyah di tanah air tercinta
ini.Sunnah Nabi saw yang terbesar yakni dakwah ini tidak boleh dilakukan
keseorangan melainkan secara berjemaah.Melalui jemaah,maka suasana Amal Jamaie
akan dapat melahirkan kesatuan kerja (wehdatul ‘amal).Bahkan kerja secara
berjemaah juga dicintai oleh ALLAH Taala. Dalam surah As Saff ayat ke-empat ,Tuhan kita ada menyebut:’’ Sesungguhnya ALLAH sangat mencintai mereka yang
berperang (berjuang) di jalan-Nya di dalam keadaan barisan yang seumpama
bangunan yang kukuh.’’
Penglibatan mahasiswa dalam persatuan juga
salah satu bentuk memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk dakwah
umum.Adapun selain dari itu,pentingnya mahasiswa untuk menguasai pelbagai
bidang cabang ilmu bukan sahaja meliputi ilmu dalam bidang pengajiannya di
kolej atau universiti bahkan ilmu lain seperti ilmu fekah,ilmu politik,ilmu
tasawuf dan lain-lain amat penting sebagai persiapan sebelum bertemu
masyarakat.Ilmu tiu umpama cahaya.Semakin kita mendekatinya,makin banyak cahaya
kita dapat.Bahkan untuk mendapatkan ilmu yang faqih harus diketahui juga dari
mana punca ilmu itu datang.Sebaik-baiknya belajarlah ilmu dari guru yang
mursyid dan beramal dengan ilmu sama ada sistem belajar secara menghadap guru
atau talaqqi atau belajar seperti kelas macam biasa.
Jangan pernah puas mencari ilmu.Ilmu
pertarbiyahan diri juga amat penting.Kerana sebelum kita mentarbiyah orang,kita
terlebih dahulu ditarbiah.Kepentingan tarbiah kepada dakwah dan perjuangan
adalah seperti air di dalam badan manusia.Air amat diperlukan di dalam badan
manusia ,namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam pelbagai bentuk seperti
darah,membaiki tisu dan sebagainya.Seandainya air itu diperam didalam badan
sahaja,ia akan membusuk dan menyebabkan penyakit.Adapun begitu juga segala ilmu
dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk
aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati
sehingga lebih suka menjadi penghukum(qadhi) berbanding penyeru (da’ie) ke arah
kebenaran (Ad Du’aat Ilallah).Bagaimana mungkin jug yang kosong ingin mengisi
gelas yang kosong,begitu juga bagaimana
mungkin daie yang tiada ilmu ingin menyumbang ilmu dan mengisi tarbiah dalam
diri masyarakat.
Sedangkan isu-isu seperti bila tarikh duit
ptptn dan jpa masuk,kita ambil cakna apatah lagi isu-isu umat seperti isu di
Lahad Datu atau isu di Palestin seharusnya kita lebih ambil cakna.Mengetahui
isu-isu semasa yang bersangkut paut dengan masalah umat khususnya dan keselamatan
negara umumnya berkaitan dengan hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu
Daud :’’Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan kaum muslimin,maka ia
bukanlah termasuk daripada kalangan mereka.’’Bahkan Rasulullah saw juga memberi
pesan bahawa,riwayat Sahih Bukhari dan Muslim:’’Orang beriman dengan orang
beriman yang lain seperti jasad yang satu.’’Sekiranya salah satu anggota
mengalami kesakitan,maka seluruh jasad akan turut berjaga malam,merasa panas
dan gusar’’Begitulah sifat Mukmin sejati yang ambil peduli akan apa yang
berlaku sekeliling.Hanya saja perkara tersebut seperti yang berlaku di Palestin
dan Lahad Datu tidak berlaku pada keluarga kita.Setelah mengetahui isu-isu
semasa yang berlaku,sudah semestinya kita tidak hanya berpeluk tubuh dan
menjadi pemerhati sahaja tanpa sedikit melakukan sesuatu untuk masyarakat Islam
yang teraniaya.Sekurang-kurangnya gempur kempen ‘Like And Share’ di Facebook
tentang isu-isu sebegini agar sahabat-sahabat yang lain juga turut dapat
berkongsi.Dan berdoalah selalu itu amat penting sepanjang masa.Doa adalh
senjata bagi mukmin.
Bagaimana pula peranan mahasiswa kepada
negara? Sekarang ini kita dalam fatrah PRU.Pilihan raya yang sepatutnya
bertukar tampuk pemerintahannya 4tahun sekali di negara kita lewat hampir
setahun. Sesungguhnya sistem demokrasi yang diamalkan di negara kira adalah
mengikut keadaan semasa.Adapun mengundi bagi pengundi yang sudah layak adalah
sebuah kewajipan bagi kita sebagai seorang Muslim.Maka,tunaikan kewajipan
sebaik mungkin.Memilih pemimpin yang benar-benar mahu menjalankan amar makruf
dan nahi munkar pula adalah dituntut oleh syarak berdasarkan ijmak iaitu
kesepakatan para ulamak. Bahkan memilih jemaah walaupun masih dalam kelompok
pelajar adalah suatu kewajipan dan merupakan langkah untuk mendapat rahmat
ALLAH.Kenapa dikatakan begitu? Mari kita teliti hadis daripada Muslim yang
diriwayatkan daripada Rasulullah saw:’’ Hendaklah kamu berada dalam
jemaah,kerana sesungguhnya berjemaah itu rahmat,sedangkan perpecahan itu merupakan
azab.’’Jangan pula kita menganggap politik dan Islam itu asing-asing melainkan
dua-duanya adalah satu.Hatta Rasulullah saw adalah ketua poltik dan pemerintah
terbaik yang wajib dicontohi.Hanya saja,kita bersederhana dan tidak taksub
dengan sesuatu gerakan Islam.Ini kerana prinsip gerakan Islam yang digenggam
kuat oleh pendokong-pendokongnya bukanlah berbentuk intima’ syakhsi (fanatik
individu) atau intima’ maslahi( ada kepentingan lain),akan tetapi prinsip
tersebut dilaksanakan atas dasar intima’ ‘aqidi (tuntutan akidah).
Sebagai kesimpulannya,mahasiswa memainkan
peranan yang amat penting dalam masyarakat dan negara.Mari kita sama-sama
renungkan kata-kata daripada seorang ulama yang cukup istiqamah dalam
perjuangan Islam iaitu Sheikh Zainol Asri Haji Romli:’’Kita adalah generasi
yang dikaderkan oleh generasi terdahulu,mereka tinggalkan hasil perjuangan pada
kita.Kita inilah sedang bekerja untuk generasi seterusnya.Jadi kita kena jadi
yang terbaik,bersungguh-sungguh untuk meneruskan perjuangan ini.Jangan
futur,jangan rebah,jangan lemah.Kita kena ingat,kerja Islam tiada masa
kosong,kalaulah kita berjuang tetapi masa kosong banyak,itu mungkin ada yang
tidak betul.’’Janganlah kerana kita berstatus mahasiswa kita merasakan tugas
untuk mendidik umat hanya dapat dilaksanakan bila sudah grad dari universiti
atau apabial dirasakan ilmu sudah cukup.Namun buatlah semampu kita apa yang
mampu disumbangkan buat negara agar kelak daulah Islamiyah dapat
ditegakkan.Jangan tanya apa yang negara boleh beri kepada kita,tetapi tanyalah
apa yang kita mampu beri kepada negara.Akhir kalam,ingatlah jasa orang yang
paling berjasa kepada kita hingga ke saat ini yakni Habibuna Mustofa Rasulullah
saw.Kerana kita ,air mata Rasulullah saw mengalir,kerana kita darah Rasulullah
menitis,kerana kita peluh Rasulullah saw menitik.Maka apakah kita hanya
mengalirkan air liur dengan banyak bermimpi dan berangan-angan untuk tegakkan
Islam dinegara kita tanpa sebarang usaha?? Tepuk dada,tanya iman.Wallahua’alam.
assalamualaikum
ReplyDeleteapa khabar?
artikel ini, secara peribadinya tidak menjawab apa peranan mahasiswa yang lebih besar selain daripada konteks undi.
walaubagaimanapun, jika kita buat perbincangan sekali pun, semua itu takkan tercapai selagi mahasiswa hanya nampak hari graduation sebagai tamatnya sesi pendidikan.
^_^
sudilah kiranya menjenguk laman saya,
syafiqaizatmf.wordpress.com
Assalamualaikum. Artikel yang sangat bermanfaat.
ReplyDeleteCuma, ada sedikit pembetulan di dalam salah satu perenggan:
Mafhum kalam dari ayat suci al Quran dan hadis sunnah Nabi saw adalah .......... ......................Dalam surah As Saff ayat ke-TIGA ,Tuhan kita ada menyebut:’’ Sesungguhnya ALLAH sangat mencintai mereka yang berperang (berjuang) di jalan-Nya di dalam keadaan barisan yang seumpama bangunan yang kukuh.’’
Setakat ilmu ana yang sedikit ini, ayat suci Al Quran tersebut adalah surah As Saff ayat ke-EMPAT.
Wallahu'alam. Teruskan berdakwah melalui penulisan. Semoga Allah redha. Jazakillah khair.
Waalaikumusalam.
ReplyDeleteAlhamdulilah,sudah diperbetulkan.
Syukron lakum.