Jodoh yg Sejati Membawa Diri Makin Dekat dengan ALLAH dan Nabi

TIDAK SANGGUP HIDUP HINA TANPA PERJUANGAN BAHKAN RELA MATI SYAHID KERNA AGAMA DAN PERJUANGAN

------------MENDAMBa SYAHID fi SABILILLAH-----------

Wednesday, April 20, 2011

aPAbila Rijal berbicara,SEDarlah niSA..diRIMU sebesAR FITnah DUNIA








Abbas Syafi merengus geram. Tin minuman yang tersadai di bahu jalan disepaknya. Melayang masuk ke dalam semak. Dia geram bercampur marah. Tangan kananya mengurut-ngurut dadanya yang bidang sedang kakinya melangkah laju. Dia mahu segera tiba.

Dari kejauhan, dia ternampak kelibat sahabat karibnya, Adhlan Nafis. Dia sedang duduk di tepi padang. Di tangannya ialah senaskah al-Quran. Abbas yang masih marah menjadi sedikit sejuk memandang wajah khusyuk sahabatnya yang sedang menikmati keindahan ayat-ayat Allah.

Dia mampir, dan mengambil tempat di atas rerumput segar dan menghijau, di sebelah Adhlan. Angin petang cukup memberikan sejuta macam kenikmatan dan ketenangan. Tapi bagi Abbas, nyaman angin petang itu belum lagi cukup untuk memberi rasa nyaman dalam hatinya yang bengkak sedari tadi.

Salam dihulur. Sunnah sebuah pertemuan.

Adlan menghabiskan bacaannya dalam surah An-Nisa'. Kemudian, kepalanya dipaling memandang mata Abbas. Wajah sahabatnya itu tampak tegang, cukup untuk membuatkan Adlan rasa seakan menaggung rasa yang sama. Dia rasa terpanggil untuk menenangkan sahabatnya.

"Kenapa ni Abbas? Macam tengah marah aje? Ada orang curi selipar jepun kau ke?", tanya Adlan sambil berseloroh. Dia mengukir senyum, lebar lagi manis.

Abbas tersenyum nipis. "Taklah Lan.. aku sebenarnya tengah geram sangat-sangat ni".

"Geram kenapa?", tanya Adhlan. Riak wajahnya tenang, membayangkan sifatnya.

Abbas mengetap bibir. Marah benar pemuda itu. "Aku menyampah betul tengok perempuan-perempuan yang melaram tak tentu pasal ni!", luahnya tanpa segan.

Abbas dan Adhlan bukannya orang lain. Mereka bersahabat sejak lahir. Bersekolah kebangsaan sama-sama. Bahkan, ke sekolah agama juga mereka bersama. Persahabatan mereka bukan sesuatu yang biasa, kerana ia diwarisi daripada keakraban dua keluarga yang beragama.

Adhlan tergelak kecil mendengar luahan Abbas. Sedikit terkejut juga kerana langsung dia tidak terfikir bahawa sahabatnya itu akan melenting pasal ini. Tangan kirinya diletakkan di bahu sahabat yang dihormati itu.

"Biasalah Abbas... mereka tidak faham agama... kita berdoalah supaya satu hari nanti mereka beroleh hidayah dan taufik untuk bertudung", Adhlan memujuk dengan suara yang lembut. Seketika, pandangan mata mereka bertembung. Adhlan senyum memujuk.

"Erm.. ya.. Tapi Lan... aku bukan marah sebab diorang buka aurat. Yang itu aku kasihan, tapi aku marah dengan orang yang pakai tudung ini!", suaranya sedikit keras.

Dahi Adhlan berkerut-kerut. Dia terkejut bercampur aneh. "Maksud kau? Marah dengan orang yang sudah bertudung?"

Abbas mengangguk. "Perintah Allah kepada wanita ialah menutup aurat dengan maksud menyembunyikan kecantikan dan perhiasan. Betul?"

Adlan mengangguk. "Surah An-Nur ayat 31. kan?"

"Betul! Tapi kau tengok apa yang berlaku sekarang. Perempuan memang bertudung, tapi mereka menghiaskan tudung mereka pula! Setahu aku, di Malaysia ini, hampir semua umat islam bermazhab Syafie. Mazhab Syafie sepakat mengatakan bahawa aurat bagi wanita ialah semua kecuali hanya tapak tangan dan muka sahaja. Kaki pun aurat dan perlu pakai stokin", sambung Abbas penuh semangat. Berkobar-kobar, persis sebilangan ahli politik sedang menabur janji menjalang pilihan raya.

Adhlan mengannguk-angguk. Dia menunggu-nunggu sahabatnya menghabiskan bicaranya.

"Konsep aurat itu ternyata belum benar-benar kita fahami. Ramai anak gadis memakai tudung. Bahkan, ada yang bertudung dengan sempurna. Tudung tidak jarang dan dilabuhkan serta menutup dada. Mereka juga tidak pakai baju yang ketat dan singkat, apatah lagi short sleeve atau leggings. Bagi kebanyakan orang, mereka sudah berpakain sebagai seorang muslimah, tapi sebenarnya belum lagi", suaranya sudah semakin diperlahankan. Di hujung-hujung, ada nada kekesalan dan kesedihan. Abbas sedih!

Adhlan pula semakin teruja untuk mendengar hujah sahabatnya itu. Al-Quran yang dibacanya tadi, diletakkan dalam dakapannya. Kemas. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia seakan-akan meragui pendirian sahabatnya. Baginya, jika sudah bertudung, tidak memakai pakaian yang ketat dan menjauhi pakain yang jarang, apa lagi yang tidak kena?

Abbas melemparkan pandangannya jauh ke hujung padang. Ada sekawan lembu sedang meragut rumput. Lembu-lembu milik orang kampung, tapi dibiarkan bebas melata. Sesekali, tangannya dinaikkan ke kepalanya bagi membetulkan rambut yang melayang-layang ditiup angin permai, senja-senja begini.

"Lan... wanita itu makhluk yang cantik, kan?". Soalan yang bersifat agak provokasi diaju kepada temannya.

Adhlan tidak segera menjawab. Dia dapat mengesan ada sesuatu yang tersirat. "Ya. Sangat cantik. Bahkan, segala-gala yang ada pada wanita dari hujung rambut hingga kaki ialah satu kecantikan. Tiada tara. Aku pernah melihat dokumentari tentang wanita-wanita di negara arab. Di sana, peraturan berpakain ketat. Bahkan, sesetengah tempat mewajibkan wanita mereka berjubah labuh dan berpurdah. Apa yang ditayang dalam dokumentari itu ialah seorang wanita yang telah mencantikkan kakinya. Dia mewarnakan kuku, dan memakai kasut tumit tinggi. Dan wanita itu telah berjaya memikat seorang lelaki asing bukan islam hanya kerana itu. Lihat... betapa dengan hanya mencantikkan kaki, dia berjaya menggoda seorang lelaki", Adhlan pula bercerita. Bersungguh-sungguh.

Abbas tersenyum sinis. "See... kalau dengan kaki, lelaki boleh tergoda, ini apakah pula muka. Aku sebenarnya sudah lama memendam rasa sedih. Hendak ditegur secara terus, aku bimbang teguran aku ditolak mentah-mentah. Kawan-kawan perempuan aku di Facebook. Aku anggarkan, hampir semua meletakkan gambar mereka sebagai profile picture mereka. Mereka tidak tahu, bahawa ketika itu mereka sudah meletakkan sesuatu yang menarik perhatian lelaki. Ah! Lelaki macam aku! kadang-kadang tu... aku macam tak sedar bahawa aku sedang menatap gambar profile mereka. Lantas, aku istighfar memohon ampun kepada Allah kerana memandang hak milik orang lain. Wanita tak sedar bahawa kecantikan mereka hanya untuk tatapan suami mereka. kerana itu, mereka selamba meletakkan gambar mereka dengan senyum yang meleret sampai telinga. bahkan, sengaja dicomel-comelkan pula muka dan gayanya. Tak sedarkah, bahawa itu salah. Ia satu kecurangan kepada bakal suami mereka. Alih-alih, kita yang lelaki ini juga yang tergoda. Kalau yang beriman, alhamdulillah tidak terkesan. tapi kalau lelaki yang ada niat jahat, silap-silap mereka print gambar-gambar tu...", kata Abbas panjang lebar. Dia berhenti mengambil nafas. Dadanya berombak-ombak. Dia agak beremosi petang itu.

Adhlan yang sekadar menjadi pendengar setia duduk membatu. Dia memikir-mikir kembali kata-kata sahabatnya itu. Ada benarnya.

"Habis tu, takkan lah perempuan tak boleh letak gambar di Facebook kot?", tanyanya. Dia teringat akan adik perempuannya, Arwa Nasuha yang baru tingkatan 3. Adik perempuannya juga ada meletakkan gambar mereka sekeluarga di Facebook. Kalau ia tidak boleh, dia sebagai abang perlu tegur.

Abbas tersenyum tawar. Dia merasakan sahabatnya itu sengaja mahu mengujinya. Ah, masakan Adhlan tidak tahu kerana dia lebih arif dalam agama.

"Boleh. Setiap perkara yang bukan ibadah itu harus, kecuali ada dalil yang mengharamkan. Itu kaedah feqah. Dalil yang mengharamkan ialah menarik perhatian lelaki. Jadi, kalau nak letak gambar, silakan. Tapi pastikan gambar itu diambil beramai-ramai. Bukan si gadis bergambar seorang diri dengan senyum yang lebar sepuluh inci. Juga bukan dengan posing-posing yang sengaja di 'mautkan'. Bahkan, lebih layak jika gambarnya hanya sebesar syiling 10 sen. Ini tidak. Kebanyakan orang, gambar mukanya sahaja sudah penuh ruang. Tidak termasuk posing pipi yang detembamkan atau mata yang dikenyitkan. Ah, macam sengaja mahu menarik peluang lelaki memandang. Paling penting, niat mereka memasukkan gambar itu ialah untuk apa? Sekadar suka-suka? Atau sekadar mahu jika orang tahu rupa kita? Iyalah.. at least kalau orang tahu rupa kita, jika kita masuk hospital akan ada orang yang nak tegur kita...", suaranya sedikit mendatar. Matanya segera dialihkan kepada Adhlan yang duduk berjulur kaki ke utara. Sahabatnya itu senyum. Nampak lesung pipitnya di belah kanan.

"Ya. Aku setuju yang itu. Maknanya, dalam Facebook pun kita perlu menjaga perhubungan. Tapi aku semacam tidak setuju sedikit. Bukankah kita, para lelaki disuruh untuk merendahkan pandangan kita?", tanya Adhlan dengan wajah yang berseri-seri.

Abbas terdiam. Dia terperangkap dengan soalan itu. Otaknya ligat berfikir.

"Lan... maaf... aku tak tahu.. Erm, apa kau pula yang cerita, aku dengar..". Suara Abbas perlahan, antara dengar atau tidak. Di pucuk pokok rambutan, dua pasang burung murai menyanyi riang, saling bersahutan.

Adhlan tersenyum penuh makna. Hatinya sebenarnya kurang setuju dengan kenyataan sahabatnya yang berbaur seakan-akan menyalahkan wanita sepenuhnya.

"Dalam surah An-Nur ayat 30, Allah memerintah orang beriman merendahkan pandangan. Kalau kau perasan, perintah merendahkan pandangan itu turun sebelum daripada perintah menyuruh wanita berjilbab. Perintah wanita disuruh turut merendahkan pandangan dan melabuhkan jilbab hingga dada turun pada ayat 31, selepas itu"

"Kejap.. jilbab tu tudung ke?", Abbas menyampuk.

Adhlan ketawa kecil. Rupa-rupanya sahabatnya itu tidak tahu maksud jilbab. Tapi tadi, bukan main berapi dia bercakap. Dia mengangguk sebagai jawapan bagi persoalan Abbas Syafi.

"Maka, kalau kita nak salahkan perempuan 100 peratus, macam tak betul pula. Lelaki terlebih dahulu perlu merendahkan pandangan. tapi aku akui, kita punya nafsu dan keinginan syahwat yang berkali-kali ganda lebih berbanding mereka, para gadis. Kerana itu, kita susah nak kawal mata...", sambung Adhlan lagi.

Abbas mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. "Ya, betul tu sahabat. Aku teringat juga kata-kata Ustaz Mujib masa kita form 4 dulu. Kita dilarang memandang wanita tanpa tujuan, walaupun wanita itu sudah menutup aurat. Waktu tu, semua orang dalam kelas kita pelik. Aku angkat tangan, aku tanya dekat ustaz..kenapa tak boleh? Kita bukannya pandang aurat mereka? Kau masih ingat jawapan Ustaz Mujib?", tanya Abbas. Wajahnya ceria bercampur teruja kerana mengenangkan zaman persekolahan dahulu. Lebih manis, dia dan Adhlan duduk bersebalahan. Maknanya, kenangan itu milik mereka bersama. Ah! Hebat sungguh ukhuwah mereka.

Adhlan senyum manis. Wajahnya juga bertukar ceria. "Iya. Masakan aku lupa... Ustaz kata, dari mata turun ke hati. Zina bermula daripada berkenal-kenalan. Berkenal-kenal pula bermula dengan pandang-memandang. Jadi, pandangan ialah permulaan".

Abbas mengagguk. "Ustaz Mujib juga bercerita tentang sahabat Rasulalalh s.a.w yang bernama Fadhl Bin Abbas ra. Masa itu, dia sedang bersama dengan Rasulallah. Tiba-tiba lalu satu kumpulan jemaah haji wanita. Fadhl bin Abbas pun mengerling tengok mereka tapi Rasulallah menolak mukanya daripada memandang-mandang jemaah muslimah ituSee... betapa pentingnya lelaki menjaga pandangan, hingga wanita yang menutup aurat dengan sempurna pun tidak boleh kita tengok dengan sengaja...", wajah Abbas muram saat menuturkan kata-kata ini. Dia tunduk memandang batu-batu kerikil halus di tanah. Dia  bermuhasabah. Yang pasti, dia seringkali melanggar perintah ini. Seringkali matanya yang dua itu meliar, memandang tanpa had.

Adhlan juga sama. Dia melepaskan nafasnya. Berat dan lambat. Dengan suara yang agak mendatar, dia menyambung ,"Erm... dalam hadis pun ada disebut bahawa pandangan mata itu salah satu daripada panah-panah syaitan. Bahkan, dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulallah berkata... sekiranya kita mengalihkan pandangan daripada melihat kecantikan wanita, Dia akan beri kita kemanisan ibadah. Subhanallah...", Adhlan menginsafi diri.

Abbas yang galak menempelak kaum hawa tadi tertunduk kesal. Manik-manik halus bergenang-genang di tubir matanya.

"Terima kasih kawan kerana berkongsi. Terima kasih kerana saling mengingatkan...", tangannya dilarikan ke atas bahu Adhlan. Sebuah senyuman terukir indah di bibirnya. Dia bersyukur kerana memiliki sahabat sebaik Adhlan. Nikmat memiliki sahabat yang baik itu sebenarnya bukan nikmat yang kecil!

Adhlan turut senyum. Lebar. "Terima kasih juga atas segala perkongsian ini"
Beburung yang berterbangan di atas pucuk pepohon rendang itu menyanyi ceria, tumpang gembira dengan ukhuwah fillah ini.

copy and share from daie blogger..

moga ada manfaatnya buat yang bergelar ar rijal atau annisa'..

No comments:

Post a Comment