Jodoh yg Sejati Membawa Diri Makin Dekat dengan ALLAH dan Nabi

TIDAK SANGGUP HIDUP HINA TANPA PERJUANGAN BAHKAN RELA MATI SYAHID KERNA AGAMA DAN PERJUANGAN

------------MENDAMBa SYAHID fi SABILILLAH-----------

Tuesday, April 19, 2011

Bersama MUAlimKU..

Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki

Beliau merupakan anak jati Negeri Sembilan yang berasal dari Kampung Chenong Chengkau Rembau Negeri Sembilan Darul Khusus. Dilahirkan pada 16 September 1974 dan merupakan anak kelahiran pertama di kampungnya. Oleh itu, gelaran al Rembawi dinisbahkan kepada daerah kampungnya Rembau. Gelaran Ahmadi pula dianugerahkan oleh gurunya Sayyid Idris ibn Sayyid Mustafa al Hasani. Manakala gelaran al Maliki pula dianugerahkan oleh gurunya Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani RA yang menisbahkan beliau kepada nama keluarganya al Maliki setelah menganggap beliau sebagai anaknya.

Di dalam bidang feqah, beliau bermazhab Syafi'i. Manakala di dalam bidang tauhid beliau berpegang dengan methodologi Imam Abu Hasan al Asy’ari RA dan Imam Abu Mansur al Maturidi RA. Manakala di dalam bidang tasawwuf beliau berpegang dengan manhaj tasawwuf Imam Junaid al Baghdadi RA.

SIFAT-SIFATNYA

Beliau paling sukar menolak permintaan atau pertolongan yang diadukan kepadanya. Semasa masih menuntut, beliau sering memberikan pinjaman wang kepada sahabat-sahabatnya yang memerlukan dan menyara perbelanjaan harian rakan serumahnya.

Begitu juga sekiranya diundang untuk mengajar atau mengadakan ceramah di mana-mana, beliau merasa bersalah sekiranya menolak permintaan jemputan ahli jawatan kuasa surau atau masjid atau pihak tertentu yang mengundangnya. Justeru, sekiranya terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan yang menyebabkan beliau terpaksa menolak sesuatu undangan, beliau hanya menyuruh wakilnya sahaja memberitahu hal tersebut.

Seorang yang berjiwa lemah lembut. Beliau tidak suka berdebat sekiranya ada orang yang mempertikainya atau mengada-ngadakan cerita di belakangnya. Malah beliau lebih suka mengambil sikap berdiam diri sehingga orang tersebut berhenti daripada perbuatannya.

Atas rasa tanggungjawab, beliau banyak menghabiskan masanya untuk mengisi dada anak-anak muridnya dengan ilmu dan kekuatan rohani. Seringkali beliau mengorbankan masa bersama isteri dan anak-anak untuk bersama-sama anak-anak muridnya mencurahkan ilmu dan berbincang tentang permasalahan mereka. Beliau juga sering mengorbankan masa rehatnya demi manfaat orang-orang yang memerlukan untuk berjalan menuju kepada Allah.

Beliau tidak akan menyembunyikan kebenaran tentang sesuatu ilmu sekalipun kebenaran itu tidak secocok dengan kehendak nafsunya kerana amanah ilmu yang wajib dijaga sebagaimana yang sering diwasiatkan oleh guru-gurunya.

Sering merendahkan diri dan tidak suka menonjolkan diri dan diberikan jawatan. Oleh itu, beliau menolak jawatan dan kedudukan yang diberikan kepadanya kerana menganggap dirinya tidak layak.

PENDIDIKAN AWAL DAN KETOKOHANNYA SEMENJAK KECIL

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Penajis, Rembau hingga darjah enam dan kemudian menyambung pengajiannya di peringkat Menengah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu Negeri Sembilan.

Semenjak kecil beliau gemar menghadiri majlis-majlis zikir dan sering menghadiri majlis tersebut yang dipimpin oleh Tuan Haji Rasyid bin Syeikh Haji Muhammad Sa’id di kampungnya. Dengan bimbingannya, beliau telah mengambil ijazah daripada gurunya itu semasa berumur 8 tahun hingga pentarbiahan tasawwuf telah sebati dalam darah dagingnya. Oleh itu, tidak hairanlah beliau begitu kuat menjaga dan mempertahankan kesucian ilmu tasawwuf dan mengenengahkan ia dalam pengajarannya.

Kegemarannya semasa kecil ialah mendengar sesi pengajaran dan ceramah agama, bertemu dengan ulama’ dan menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW. Beliau begitu gemar memakai serban dan akan menangis jika bapanya tidak membawanya bersembahyang jemaah di masjid. Sebelum baligh lagi, beliau telah mula menjadi imam solat Tarawih di kampungnya. Tidak hairanlah masyarakat sering mengatakan bahawa keilmuan dan keperibadiannya tidak sebanding dengan usianya.

Semasa berusia 8 tahun, beliau telah meminta bapanya menghantar beliau belajar di pondok-pondok pada musim cuti sekolah. Oleh itu, pada musim cuti sekolah, beliau telah dihantar oleh bapanya ke pondok al Nuriyyah Sungai Udang, Melaka untuk belajar agama dan Bahasa Arab. Sekalipun ketika itu usia beliau masih terlalu muda, beliau telah menunjukkan contoh yang baik sama ada dari aspek kelimuan mahupun akhlak kepada murid-murid lain yang kebanyakannya lebih tua daripadanya.

Beliau belajar dengan cemerlang dan amat memuliakan guru sehingga menjadi murid kesayangan gurunya dan diberi kepercayaan menjadi salah seorang ketua pelajar.
Memandang minat dan kebolehannya yang mendalam dalam pengajian agama dan Bahasa Arab, beliau bercita-cita menyambung pengajiannya di Universiti al Azhar. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau berpindah ke Maahad Ahmadi satu-satunya sekolah Negeri Sembilan yang menyediakan pengajian Thanawi. Semasa di sana, beliau begitu cemerlang dalam pelajaran Thanawi hinggakan tiada pelajar yang dapat menyainginya. Malah, beliau meminta kepada tenaga pengajar di situ supaya mengadakan kelas pengajian ilmu Nahu di luar waktu sekolah bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Arabnya. Sebaliknya guru itu sendiri meminta beliau mengajar rakan-rakannya yang lain kerana menaruh kepercayaan yang tinggi kepadanya.

Namun, setelah dua tahun menuntut ilmu di sana, ilmu yang diperolehinya dirasakan masih terlalu cetek. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berpindah ke Madrasah al Nahdah al Hasanah Kedah untuk lebih mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Di sana, beliau berkesempatan belajar dengan al Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Hj. Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Ahli Majlis Fatwa Malaysia. Sekalipun tidak lama belajar di sana, beliau menjadi murid kebanggaan gurunya dan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Ketika berada di Mesir, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Syeikh Tajuddin di dalam Bahasa Arab. Nama dan suratnya disebut dan dibaca oleh Tuan Guru Syeikh Tajuddin dalam perhimpunan sekolah dan menjadi murid contoh kepada pelajar-pelajar yang lain.

Semasa menziarahi Syeikh Tajuddin setelah tamat pengajian di al Azhar dan membuka sekolah pondok di kampungnya, Syeikh Tajuddin menyatakan perasaan bangganya di atas kejayaan beliau dan jejak langkahnya yang diikuti oleh beliau. Malah Syeikh Tajuddin berpesan kepada beliau supaya mengajar kitab Hikam dan cara-cara amalan seseorang itu diterima Allah dan bukan sekadar mengajar hukum sah dan batal.

Syeikh Tajuddin juga sempat memberikan kata-kata perangsang kepada beliau agar menguatkan semangat meneruskan usahanya dan memahami segala mehnah yang dihadapinya. Pesannya lagi supaya pengarang berpegang dengan aurad dan ahzab auliya’ serta pergi bertemu dengan para wali Allah. Di atas kepercayaannya, Syeikh Hj. Tajuddin membenarkan pelajar maahad sekolah beliau mengambil peperiksaan bersama dengan sekolahnya.

Selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA), beliau menyambung pengajiannya di Mesir ketika berusia 19 tahun. Semasa berada di sana, beliau belajar di Maahad selama setahun dan menyambung pengajiannya di Universiti al Azhar dalam bidang Syariah dan Undang-undang sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang dengan keputusan Jayyid Jiddan.

KEAZAMAN DAN KERJAYA DAKWAHNYA


Semenjak masih kecil lagi, beliau telah menanam keazaman untuk menyuburkan dan memeriahkan kampungnya dengan pengajian ilmu dan penghayatan agama. Malah perpecahan dan pertelingkahan yang berlaku di kalangan orang-orang Islam disebabkan perkara-perkara yang remeh temeh, telah banyak memberikan kesedaran dan perangsang kepada beliau untuk bersungguh-sungguh memenuhi dadanya dengan ilmu yang mantap. Apatah lagi, di kampungnya memang telah hidup suasana dan kemeriahan belajar daripada tuan-tuan guru yang mengajar di madrasah dan masjid.

Setelah pulang ke tanah air, beliau memulakan langkahnya dalam arena dakwah dengan mendirikan madrasah di kawasan tanah milik ibunya di Kampung Chenong dengan modalnya sendiri, sumbangan daripada anggota keluarga dan masyarakat setempat. Bermula dari sini, beliau mengadakan pengajian ilmu agama dan menghidupkan kitab-kitab turath untuk memekarkan lagi aqidah Muslim yang sejati, menyucikan jiwa dari sifat mazmumah dan menghiasi diri dengan sifat mahmudah. Beliau mengadakan pengajian pada setiap hari yang diselangi dengan pengajian dan ceramah di madrasah dan masjid-masjid yang berada di luar qaryahnya.

Di antara kitab-kitab pengajiannya yang terawal ialah Kitab Tafsir Jalalain, Tafsir Nurul Ihsan, Sohih Bukhari, Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah, Syifa’ bi T’rif Huquq al Mustofa, Syamail al Muhammadiah, Riyadh al Solihin, al Azkar Imam Nawawi, Nasoih al Diniyyah wal Wasoya al Imaniyyah, Sair al Salikin, Minhaj al Abidin, Munyah al Musolli, Hidayah al Salikin dan lain-lain lagi.

Sekalipun banyak rintangan dan halangan yang dihadapi dalam medan dakwahnya, semangatnya tidak pernah luntur berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Setahun selepas itu, atas permintaan masyarakat setempat, beliau mengorak selangkah lagi membentuk kader-kader yang bakal meneruskan perjuangannya mempertahankan kesucian agama dan aqidah yang sejajar dengan prinsip Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Maka pada bulan April 1998, dengan dibantu oleh rakan-rakan seperjuangan dan penduduk setempat, beliau telah mengasaskan sekolah Menengah Agama Rakyat yang dinamakan Maahad At Taufiqi Dato’ Abdullah. Memandangkan, dana yang tidak mencukupi, maka pengajian sekolah tersebut beroperasi di madrasah dan seramai 16 orang perintis ditempatkan di asrama yang terletak di tingkat bawah madrasah dan di rumah sewa. Selepas hampir 5 tahun sekolah tersebut beroperasi di sekolah tumpangan sementara, bilangan pelajar bertambah menjadi 105 orang di bawah bimbingan 10 orang tenaga pengajar yang terdiri dari mahasiswa lepasan al Azhar, universiti tempatan dan guru-guru yang berpengalaman.

Sekalipun belum memiliki bangunan sendiri, Maahad ini telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan dengan menghantar seramai 16 orang pelajar keluarannya ke Universiti al Azhar.


Sekalipun tidak terkenal dengan bangunannya yang indah dan luas, Surau al Taufiqi al Husaini cukup dikenali oleh insan-insan yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan. Malah, madrasah ini sering dikunjungi oleh ulama’ yang terkenal. Semenjak penubuhannya, lebih 10 orang ulama’ dari dalam dan luar negeri telah berkunjung ke madrasah ini untuk bersama-sama menyampaikan ilmu dan berbincang tentang dunia Islam semasa.

Selain berdakwah melalui lisan dan mengadakan pengajian untuk bentuk kader Islam, beliau juga bergiat aktif berdakwah melalui penulisan. Beliau telah menulis lebih daripada 150 buah buku di dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

Beliau akur, untuk menegakkan kebenaran pada zaman yang penuh dengan cabaran dan kebendaan ini, rintangan dan halangan tidak akan pernah berakhir. Apatah lagi faktor usianya yang masih dipandang terlalu muda. Namun begitu, alhamdulillah dengan pertolongan Allah dan dokongan yang kuat, sehingga ke hari ini madrasah yang diasaskannya masih berjalan lancar dan meriah dengan pelbagai program dan majlis-majlis ilmu yang dihadiri oleh ramai ahli masyarakat yang datang dari merata tempat. Selain itu, beliau juga aktif memberikan ceramah dan membentangkan kertas kerja seminar-seminar di merata tempat. Di antaranya di sekitar N.Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Temerloh, Kuantan, Pekan Pahang, Kedah, Terengganu (atas undangan Sultan Terengganu), Singapura, Mesir dan lain-lain lagi.

Melihat kepada ketokohan dan komitmennya yang tinggi dalam mempertahankan perkara yang hak dan menegah kebatilan, maka pada awal tahun 2003, beliau telah diberi kepercayaan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan memegang amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Pada peringkat awalnya beliau menolak untuk menerima jawatan tersebut. Akan tetapi disebabkan rasa kasih, adab dan hormat terhadap gurunya iaitu Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, beliau akhirnya menerimanya. Beliau juga telah dilantik menjadi ahli Panel Temuduga Tauliah Mengajar Agama di N egeri Sembilan. Semoga Allah membantu usaha beliau dalam mempertahankan agama yang suci ini.

Atas kata sepakat dan paduan tenaga AJK Madrasah dan ahli pengajian, pengurusan kerja dikemaskinikan lagi di bawah sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan dengan nama Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Melalui biro-biro yang terdapat di bawahnya, yayasan ini makin berkembang dari hari ke hari. Bermula tahun 2005, di bawah Biro Pendidikan memulakan langkah awal dengan menubuhkan Rumah Anak-anak Yatim dan seterusnya sehinggalah tertubuhnya Sekolah Tinggi Islam As-Sofa yang telah didaftarkan secara rasmi pada tahun 2009 di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (Bahagian Swasta).

KARYA-KARYANYA

Beliau amat gigih dalam arena penulisan serta menekankan disiplin yang tinggi mengenainya. Setiap waktu dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Meskipun usianya baru mencecah 35 tahun, beliau kini telah menghasilkan hampir 150 karya berbentuk penulisan, penterjemahan, adaptasi dan sebagainya. Disenaraikan di sini sejumlah besar dari karya-karya agung tersebut.
Rasulullah SAW dan Sirah

§ Rasulullah SAW dari Perspektif Imam Syafi’i RA
§ Maulid Nabi SAW dalam Necara Nabawi
§ Pohon Nabawiyyah
§ Kewajipan Mencintai dan Memuliakan Nabi (Terjemahan)
§ Hukum Menghina Nabi SAW
§ Hidupnya Para Nabi di Dalam Kubur
§ Keunggulan Rasulullah SAW
§ Ringkasan Sirah Nabawiyyah (Terjemahan)
§ Al Anwar al Nabawiyyah (Terjemahan)
§ Keistimewaan Rasulullah SAW
§ Mukhtasar Syamail Muhammadiah (Terjemahan)
§ Mu’jizat Isra’ dan Mi’raj
§ Isra’ dan Mi’raj (Cetakan Semula karya al ‘Allamah Sheikh Daud ibn Abdullah al Fathoni RA)


* Manaqib dan Biografi

§ Sayyid Ahmad ibn Idris RA
§ Al Maliki: Ulama’ Rabbani Kurun ke-21
§ Hujjah al Islam Imam al Ghazali RA
§ Mendekati Sayyid Ja’afar al Barzanji RA
§ Al Imam Abu Hasan al ‘Asy’ari RA
§ Al Imam al Hafiz Jalaluddin al Suyuti RA
§ Biografi Syeikh Muhammad Harith RA
§ Manaqib Sayyidah Khadijah al Kubra (Terjemahan)
§ Sayyid Ibrahim al Rasyid RA
§ Imam al Syatibi RA
§ Manaqib 3 Permata Masjidil Haram



* Tasawwuf

§ Hubungan Tasawuf Dengan Sunnah
§ Kewajipan Bertasawwuf (Terjemahan)
§ Seruan Tasawwuf (Adaptasi)
§ Qatr al Ghaithiyyah (Semakan dan Cetakan semula)
§ Syarah Hikam Abi Madyan RA
§ Latho’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan RA (Kehalusan Anugerah Syarah Hikam Abi Madyan RA)
§ Hikam Syeikh Raslan RA (Terjemahan)
§ Anwar al Sabil al Aqwam fi Syarh al Hikam
§ Kekasih-kekasih Allah (Perbincangan Mengenai Rijal al Ghaib)
§ Hadith: Sesiapa Mengenali Dirinya, Maka Dia Mengenali Tuhannya
§ Akhlak Salafussoleh: Peringatan Bagi Manusia Yang Tertipu
§ Penenang Bagi Hati



* Zikir dan Amalan

§ Pancaran Nur Doa dan Zikir Ahli Akhyar (Terjemahan Syawariq al Anwar)
§ Lautan Zikir Ahli Arifin
§ Perisai Tiga Kekasih Allah
§ Kanz al Sa’adah (Tahqiq dan Terjemahan)
§ Ahzab wa Aurad Manhaj al Ahmadi al Idrisi (Tahqiq)
§ Doa Majlis Sayyid Ahmad ibn Idris RA
§ Aurad Ahmadiah dan Ratib Haddad
§ Hizib al Bahr
§ Hizib al Imam Ghazali RA
§ Hizib Imam Nawawi RA
§ Salawat 40 (Terjemahan)
§ Manzumah Tawassul Asma’ al Husna (Terjemahan)
§ Amalan Bulan Rejab
§ Doa Malam Nisfu Sya’ban
§ Kelebihan Nisfu Sya’ban
§ Tazkirah Ramadhan
§ Amalan Bulan Zulhijjah
§ Doa Untuk Ibu bapa dan Anak-anak
§ Duru’ al Wiqayah bi Ahzab al Himayah (Cetakan semula)
§ Surah Yaasin Kaifiat dan Doanya
§ Doa Sayyid Ibrahim al Rasyid RA
§ Wasilah Para ‘Abid
§ Doa Angin Ahmar
§ Amalan Memudahkan Rezeki
§ Amalan Menguatkan Ingatan dan Menghindari Was-was
§ Himpunan Ayat-ayat Penjaga
§ Solat Sunat Sayyid Ahmad ibn Idris RA
§ 40 Salawat Pilihan Ke atas Nabi SAW
§ Jampi Penawar Dari al Quran (Terjemahan)
§ Ratib Hari Jumaat
§ Pendinding Diri
§ Amalan Menolak Wabak dan Bala
§ Pintu-pintu Pelepasan Bab 1
§ Pintu-Pintu Pelepasan Bab 2
§ Fadhilat Salawat
§ Istighfar Imam Hasan al Basri RA
§ Munajat Uwais al Qarni RA



* Aqidah dan Tauhid

§ I’tiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah
§ Qawa’id al ‘Aqaid (Terjemahan)
§ Wahhabisme Dari Neraca Syara’
§ Kerapuhan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah (Adaptasi)
§ Penjelasan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah (Terjemahan)
§ Agamamu Dalam Bahaya (Terjemahan)
§ Aqidah Awam (Terjemahan)
§ Pendapat Ahli Sunnah Yang Bertentangan Dengan Pendapat Wahhabi (Terjemahan)
§ Keistimewaan Umat Nabi Muhammad SAW (Adaptasi)
§ Aqidah Islam (Adaptasi dan Terjemahan)
§ Keislaman Ayahanda dan Bonda Rasulullah SAW (Semakan dan Cetakan)
§ Fitnah Syi’ah (Terjemahan)
§ Fitnah Wahhabi (Terjemahan)
§ Nikmat Yang Tidak Terungkap (Terjemahan)



* Tafsir

§ Tafsir Surah al Fatihah (Tahqiq)
§ Tafsir Surah Dhuha
§ Tafsir Surah al Insyirah
§ Tafsir Surah al Kauthar
§ Tafsir Surah Yaasiin
§ Pengantar Ilmu Tafsir (Terjemahan)



* Hadith

§ Musyahadah Ruh Insan Bertaqwa (Terjemahan)
§ Hadith 60: Kelebihan Ahli Bait (Terjemahan)
§ Kelebihan Memelihara dan Membiaya Anak Yatim
§ Kelebihan al Quran (Terjemahan)
§ Mutiara Nabawi (Terjemahan)
§ Mutiara Sa’adah (Terjemahan)

§ Hidayah al Mukhtar (Terjemahan)
§ Galakan Melakukan Amal Kebaikan (Terjemahan)
§ 40 Mutiara Nabawi: Fadhilat al Quran al Karim



* Feqah

§ Munyah al Musolli (Tahqiq)
§ Safinah al Naja (Terjemahan)
§ Hukum Membaca Basmalah
§ Hukum Mengikut Imam Yang Menyalahi Mazhab Makmum
§ Posisi Imam Ketika Solat Jenazah
§ Pendapat Ulama’ Hukum Mencium Tangan
§ Hukum Menghina Nabi SAW
§ Fatwa Ulama’ Ahli Sunnah Hukum Melihat Nabi SAW
§ Sayyidina dan Perbincangannya



* Sanad dan Ijazah (Athbat)

§ Al Musalsalat al ‘Asyarah
§ Al Toli’ al Sa’id (Bahasa Arab)
§ Kunuz al Anwar al Muntakhab min Asanid al Akhyar (Bahasa Arab)
§ Al Jawahir al Ghawali min Asanid al Imam al Azhari (Bahasa Arab)
§ Musalsal Orang-orang Mulia
§ Al Yaqut al Nafis min Asanid al Muhaddith Sayyid Ahmad ibn Idris RA (Bahasa Arab)
§ Fath al Rahman bi Asaniid Mufti Nejri Sembilan (Bahasa Arab)
§ Al Bahjah al Mardiyyah fi Musalsalat al Rembawiyyah (Bahasa Arab)
§ Bulugh al Amani al Muntakhab min al Musalsalat al Maliki (Bahasa Arab)
§ Sanad al Aurad al Qusyasyiah.
§ Al Manhal al Karim fi Asaniid al Quran al ‘Azim (Bahasa Arab)



* Lain-lain

§ Kefahaman Yang Wajib diperbetulkan (Terjemahan Mafahim Yajibu an Tusohhah)
§ Silaturrahim
§ Jaliah al Kadr fi Zikr Asma’ Ahl al Badr
§ Dialog Sayyid Ahmad dengan Fuqaha’ Najd (Terjemahan)
§ Qudwah Hasanah Dalam Manhaj Dakwah (Terjemahan).

No comments:

Post a Comment